Latar masyarakat Kapten Hassan Wira Bangsa

Latar masyarakat yang terdapat dalam novel ini pada umumnya terbahagi kepada yang berikut:

  • Orang-orang kampung. Yakni kebanyakannya orang Melayu yang tinggal di kawasan pedalaman, terutamanya pada peringkat awal dalam novel ini. Orang-orang kampung ini kebanyakannya bertani dan hidup dalam keadaan serba sukar, baik semasa Jepun mahupun semasa Bintang Tiga bermaharajalela. Sikap pasif dan sabar orang-orang kampung terhadap kekejaman Bintang Tiga berubah dengan penahanan dan penangkapan Penghulu Ismail. Mereka berpegang teguh kepada ajaran agama juga.
  • Anggota pasukan keselamatan. Yakni pasukan tentera yang berkhidmat di bawah panji Rejimen Askar Melayu Diraja dan Rejimen Askar Wataniah, di samping pasukan Pasukan Polis Hutan. Mereka ini kebanyakan terdiri daripada bangsa Melayu yang menjawat pelbagai pangkat tinggi dan rendah, kecuali pada zaman Inggeris yang kebanyakkannya pegawai tingginya terdiri daripada bangsa Inggeris. Kesemua anggota pasukan keselamatan ini berjuang dengan penuh semangat dan berdedikasi demi mempertahankan keselamatan dan kedaulatan Negara, khususnya daripada ancaman dalam negeri, yakni pengganas komunis dan ancaman negeri, misalnya sewaktu zaman konfrontasi.
  • Kumpulan pengganas komunis. Yang sebahagian besarnya berbangsa Cina tetapi turut disertai bangsa Melayu. Mereka pada asalnya mengangkat senjata untuk menentang pendudukan Jepun telah turut menentang Inggeris dan kerajaan yang dipilih rakyat.Mereka bersikap kejam dengan sewenang-wenang terhadap rakyat dan senantiasa menggugat keamanan Negara. Namun demikian, perjuangan sia- sia mereka dari dalam hutan berakhir juga dengan persetujuan mereka untuk meletakkan senjata.